Tuesday, September 18, 2007

Ramadan Terakhir


Pada jam 1030 malam 10 Sept 2007 aku menerima talipon dari seorang teman bahawa Hj Jamal Othman telah kembali ke rahmatullah. Walaupun arwah telah lama melawan dugaan Allah dengan penyakit kanser dan jantung, namun berita tersebut tetap menyentuh hati ini dan merasa kehilangan seorang sahabat. Sahabat yang telah aku kenali lebih daripada 30 tahun, sejak kami sama sama menuntut di Liverpool. Kami juga pernah berlayar bersama di mana beliau sebagai pegawai atasan, memberi tunjuk ajar ilmu pelayaran dan kehidupan dengan tegas dan ikhlas . Beliau telah bertemu jodoh dengan seorang penuntut Melayu di Liverpool dan jodoh mereka kekal hingga ke akhir hayat. Setelah tamat khidmat di laut beliau berkhidmat di Jabatan Laut Semenanjung Malaysia dan seterusnya berhijrah dan bersara di PETRONAS.


Pada mulanya aku mersa sedih dengan pemergian beliau sehari sebelum Ramadan tetapi setelah dimaklumkan perjalanan hari terakhir beliau, hati ini mersa lega dan bershukur. Beliau telah sempat menjadi Imam sembahyang Zohor di Surau Al Madani dan berjemaah sembahyang Asar di surau yang sama sebelum meninggal semasa mengambil wuduk Maghrib. Dari raut muka yang tenang dan aman semasa di mandi dan kapan aku merasa beliau pergi dengan reda dan aman.
Sesunggunnya Allah maha pengasih lagi penyayang dan telah memberi ganjaran kepada hambanya yang sabar dan sentiasa mengingatinya walaupun diduga dengan hebat. Sahabat ini telah memilih untuk lebih mendekati Allah dalam masa diduga dengan kanser dan sakit jantung. Beliau telah banyak menghabiskan masa berjemaah dan mengajar Al Quran di surau Al Madani. Sembahyang jenazah telah di sempurnakan di rumah dan juga surau dengan semua ruang di penuhi oleh rakan, jiran dan teman yang datang dari jauh dan dekat. Perjalanan hidup sahabat ini memberi pelajaran bagi kita untuk terus hidup dan mati dalam keredaan Allah. Untuk kita berusaha gigih dalam mencapai kejayaan hidup di dunia tanpa lupa beramal untuk bekal kita dikehidupan yang kekal di alam bazrah.


RAMADAN TERAKHIR

Andai kau tahu ini Ramadan terakhir
tentu siangnya engkau sibuk berzikir
tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu..merayu...kepada-NYA Tuhan yang satu

Andai kau tahu ini Ramadan terakhir
tentu sholatmu kau kerjakan di awal waktu
sholat yang dikerjakan...sungguh khusyuk lagi tawadhu
'tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri
menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
"sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam"

Andai kau tahu ini Ramadan terakhir
tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kau dendang...bakal kau syairkan

Andai kau tahu ini Ramadan terakhir
tentu malammu engkau sibukkan dengan bertarawih...berqiamullail...bertahajjud...
mengadu...merintih...meminta belas kasih
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"

Andai kau tahu ini Ramadan terakhir
tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadan
kita buru...kita cari...suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan

Andai kau tahu ini Ramadan terakhir
tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ...lorong-lorong redha Ar-Rahman

Duhai Ilahi....
andai ini Ramadan terakhir buat kami
jadikanlah ia Ramadan paling berarti...paling berseri...
menerangi kegelapan hati kami
menyeru ke jalan menuju ridho serta kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti

Namun teman...
tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha...bersedia...meminta ehsan-NYA

Andai benar ini Ramadan terakhir buat kita
Maafkanlah Semua Kesalahan Yang Pernah dilakukan

Sajak ehsan : A.Rahman Azubir

2 comments:

Kak Teh said...

Salam Ramadhan.
Kak teh juga kehilangan kawan setahun lalu dan sabtu ini akan bersama anak-anak arwah berbuka puasa dengan mereka. Setiap kali tengok anak-anak ini kak teh akan menangis kerana ditinggalkan ibu. Tapi, bagi mereka, mereka redha ibu pergi daripada menderita sakit kanser. Kak Teh juga akan terpaksa memberanikan diri berdepan mereka tanpa menunjukkan rasa sedih.
Al fatehah kepada Arwah Hj Jamal.

jaflam said...

KT, semoga jasa baik berbuka bersama anak anak arwah hari ini mendapat keberkataan Allah.Selamat terus menikmati Ramadhan Al Mubarak.